Tuesday, October 27, 2009

1 Malaysia

1 MALAYSIA MEMBINA NEGARA BANGSA

1 Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Wawasan 2020 dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia Keempat iaitu Tun Dr. Mahathir bin Mohammad bagi mencapai negara maju menjelang tahun 2020. Syarat yang paling penting ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini hanya akan tercapai apabila rakyatnya bersatu padu.

1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia Keenam (2009)

1 Malaysia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Dalam erti kata lain, 1 Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Pengertian ini adalah berdasarkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju sepertimana yang diilhamkan melalui Wawasan 2020, syarat yang paling utama iailah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini hanya akan tercapai apabila rakyatnya bersatu padu.

Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1 Malaysia amat berbeza dari konsep asimitasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaun etnik dilenyapkan dan diganti dengan sati identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1 Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu asset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

1 Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

Konsep 1 Malaysia menjadi asas kepada semua ini dan ia adalah prinsip keadilan untuk semua kaum. Ini bermakna nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap berbeza-beza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1 Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

1 Malaysia adalah penerusan agenda membina negara bangsa. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lancar.

Perpaduan telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan tercapai. 1 Malaysia bertujuan bersemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia. Perpaduan adalah pra-syarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara iaitu mencapai status Negara Maju menjelang tahun 2020.

Kejayaan konsep 1 Malaysia memerlukan komitmen, dukungan serta sokongan semua pihak. Kerajaan perlu mewujudkan satu jawatankuasa 1 Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan proses memasyarakatkan konsep 1 Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara dapat dilaksanakan, dipantau dan diperkasakan setiap masa. Kepelbagaian sosio-budaya dan ekonomi rakyat dapat dicanai dan digemblengkan menjadi cirri-ciri kekuatan nasional dan dan kemudian diterjemahkan menjadi strategi pembinaan Negara bangsa.

Dengan ini, beberapa cadangan disarankan di sini agar kerajaan mengambil usaha ke arah memmasyarakatkan konsep 1 Malaysia ini melalui pendekatan serta program seperti berikut:

Satu: Kurikulum pendidikan rendah, menengah serta di peringkat Institusi pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia mestilah memperkenalkan konsep 1 Malaysia, Perlembagaan Malaysia dan Rukun negara sebagai mata pelajaran wajib mengikut peringkat-peringkat sewajarnya, dengan secara serius, konsisten dan berterusan.

Dua: Kurikulum yang serupa mesti juga diperkenalkan sebagai mata pelajaran wajib di seluruh organisasi pembinaan generasi seperti pusat-pusat latihan belia dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Organisasi masyarakat sivil dan NGO juga perlu digalakkan untuk menganjurkan siri penerangan mengenai prinsip-prinsip pembinaan negara seperti yang terkandung dalam konsep 1 Malaysia.

Tiga: Golongan akademik dan penulis digalakkan untuk menulis buku-buku yang mengupas konsep 1 Malaysia. Hasil karya mereka mestilah dilambakkan ke dalam pasaran secara meluas dan dijadikan buku rujukan pengajaran di sekolah-sekolah, IPTA, IPTS, Pusat latihan Belia dan PLKN. Buku ini juga boleh dijadikan bahan bacaan di seluruh warganegara.

Ciri-ciri kekuatan nasional ini juga boleh digunakan untuk mencorak dan melaksanakan program pembangunan insan, pembangunan negara dan pembangunan ekonomi, di samping memperkasakan keupayaan Malaysia menembusi aneka peluang serta aktiviti ekonomi dan perdagangan antarabangsa. Konsep 1 Malaysia juga membuktikan kebijaksanaan serta keprihatinan Perdana Menteri untuk member erti yang seluas-luasnya kepad doktrin Rukun Negara.

Akhir kata, konsep 1 Malaysia akan melahirkan dinamika warga negara yang sihat ke arah masa depan yang akan dibanggakan oleh seluruh rakyat, terutamanya generasi muda yang akan memberikan kesinambungan kepada kesejahteraan negara di masa depan. Jadi, marilah kita berikrar untuk untuk sama-sama menyumbang peranan bagi menjayakan konsep 1 Malaysia ini dari sekarang.

No comments:

Post a Comment